CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

19 August 2011

Mana Mak?

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.




Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?” Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomBor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika. Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?”

Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak.

Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kuih koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kuih koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kuih koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kuih koci kamu ni.”

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kuih koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamad. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kuih koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam. Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telefon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telefon budak-budak ni tadi, tapi Uda kata semua tak berangkat.”

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak untuk beritahu yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telefon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kuih koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.



Beberapa tahun kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak
Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, ”Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” ”

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kuih koci buat bekal.”

“Ayah, ayah….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia....




Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw., ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


 aien :: subhanAllah...jgn sesekali kita lupa ibubapa kita bila kita sudah berjaya nanti..begitu besar pengorbanan mereka,,,ain sayang sngat2 kat mak dan abah....

18 August 2011

Kisah Bumi Dan Langit

Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain.”


Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘Arasy, kursi dan syurga ada padaku.”


Berkata bumi, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik).”


Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama- utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syariatnya juga di tempatku.”


Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, “Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini.”


Jibrail A.S. bertanya, ” Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?”


Allah S.W.T berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”


Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?”


Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”


Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.”
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu’alam.


Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

17 August 2011

Mangkuk Yang Cantik, Madu Dan Sehelai Rambut

Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Abakar r.a., Umar r.a., Utsman r.a., dan ‘Ali r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayidatina Fatimah r.ha. puteri Rasulullah SAW menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).



Abu bakar r.a. berkata, “iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut”.


Umar r.a. berkata, kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


Utsman r.a. berkata, “ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


‘Ali r.a. berkata, “tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


Fatimah r.ha.berkata, “seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah di lihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


Rasulullah SAW berkata, “seorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan ‘amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat ‘amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


Malaikat Jibril AS berkata, “menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.


Allah SWT berfirman, ” Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut”.

16 August 2011

Wanita Yang Berwajah Tidak Cantik

Seorang gabenor pada zaman Khalifah Al-Mahdi, pada suatu hari mengumpulkan sejumlah rakyatnya dan menaburkan wang dinar dihadapan mereka. Semuanya saling berebut untuk memungut wang itu dengan riang gembira. Kecuali seorang wanita berkulit hitam dan berwajah buruk.

Dia hanya diam sahaja tidak bergerak, sambil memandang jiran – jirannya yang sebenarnya lebih kaya dari dirinya, tetapi  seolah-olah mereka  kekurangan harta.


Dengan kehairanan Gabenor bertanya, “Mengapa engkau tidak memungut wang dinar itu seperti jiran engkau yang lain?”

Wanita berwajah buruk itu menjawab, “Mereka cari wang dinar sebagai bekal dunia. Sedangkan yang saya memerlukan bukan dinar melainkan bekal akhirat.”

“Maksud kamu?” tanya Gabenor yang mulai tertarik akan keperibadian perempuan itu.

Maksud saya, wang dunia sudah cukup. Yang masih saya perlukan adalah bekal akhirat, iaitu solat, puasa dan zikir. Kerana perjalanan di dunia amat pendek jika dibandingkan dengan pengembaraan di akhirat yang panjang dan kekal.”

Dengan jawapan seperti itu, Si Gabenor merasa telah disindir tajam. Dia insaf, dirinya selama ini hanya sibuk mengumpulkan harta benda dan melalaikan kewajipan agamanya. Padahal kekayaannya melimpah ruah, tidak akan habis dimakan keluarganya sampai tujuh keturunan. Sedangkan umurnya sudah di atas setengah abad, dan Malaikat Izrail sudah mengintainya.

Akhirnya Gabenor  jatuh cinta kepada perempuan buruk  itu. Khabar itu tersebar ke segenap pelusuk negeri. Menteri dan orang besar negara sangat hairan, bagaimana seorang Gabenor boleh menaruh hati kepada perempuan  hodoh itu.

Maka pada suatu kesempatan,  mereka diundang oleh Gabernor dalam sebuah pesta mewah. Semua rakyat, termasuk wanita yang  hodoh tadi. Mereka diberikan gelas cristal yang bertahtakan permata, berisi minuman anggur segar. Gabenor  memerintah agar mereka membaling gelas masing-masing. 

Semuanya kebingungan dan tidak mahu menuruti perintah itu. 

Namun, tiba-tiba terdengar bunyi berderai, tanda ada orang gila yang melaksanakan perintah itu. Itulah si perempuan berwajah buruk tersebut. Di kakinya terdapat pecahan gelas berhamburan. Semua orang nampak terkejut dan kehairanan. Gabenor itu bertanya, “Mengapa kamu membaling gelas itu?

Tanpa takut wanita itu menjawab :

Ada beberapa sebab:
Pertama, dengan memecahkan gelas ini bererti berkurangnya kekayaan Tuan. Tetapi, pada saya perkara itu lebih baik,  kerana kewibawaan Tuan terjaga  lantaran perintah Tuan tidak dipatuhi.”

Gabenor  terkesima. Para tetamunya juga kagum akan jawapan yang masuk akal itu.

Sebab lain?” tanya Gabenor itu lagi. Wanita itu menjawab.

“Kedua, saya hanya mentaati perintah Allah. Sebab di dalam Alquran, Allah memerintahkan agar kita mematuhi Allah, Utusan-Nya, dan para penguasa. Sedangkan Tuan adalah penguasa, atau ulil amri, maka  saya laksanakan perintah Tuan.”

Gabenor semakin takjub. Demikian pula para tetamunya.
“Masih ada sebab lain?”

Perempuan itu mengangguk dan berkata.

“Ketiga, dengan saya memecahkan gelas itu, orang-orang akan menganggap saya gila. Namun, perkara ini baik buat saya. Biarlah saya di cap gila daripada tidak melakukan perintah Gabenornya, yang bererti saya sudah berbuat derhaka. Tuduhan saya gila, akan saya terima dengan lapang dada daripada saya dituduh derhaka kepada penguasa saya. Itu lebih berat buat saya.

Maka Gabenor yang sedang menduda itu melamar lalu menikahi perempuan hodoh dan hitam legam itu. Semua yang mendengar sangat gembira kerana Gabenor memperolehi  jodoh  yang bukan sahaja taat kepada suami, tetapi juga taat kepada gabenorrnya, kepada Nabinya, dan kepada Tuhannya.

Kisah Sehelai Daun

Di sebatang pohon kecil, hiduplah beberapa daun yang tumbuh bersama. Diantara daun-daun tersebut terdapat sebuah daun yang sangat besar dan kuat. Daun itu diagung-agungkan kerana kekuatannya. Dialah yang dianggap pelindung bagi daun-daun lainnya dari badai, hujan, panas matahari yang terik, dan bahaya lainnya.


Suatu ketika datanglah musim kemarau yang panjang. Daun-daun di pohon kecil itu mulai layu kerana tidak mendapat air dan makanan. Daun besar yang tadinya kuat dan besar mulai terlihat layu. Ia berusaha melindungi daun-daun lain dari matahari yang bersinar sangat terik supaya daun – daun kecil sahabatnya itu tidak kehilangan air lebih banyak lagi.


Hari berganti hari, daun besar itu sudah sampai pada puncak usahanya. Ia mulai carik – carik sehingga sinar matahari mulai menembusnya. Ia mulai kehilangan kekuatannya dan daun-daun lainnya pun sudah mulai mengabaikannya kerana ia tidak kuat lagi seperti dulu.
Beberapa hari kemudian daun besar itu merasa tidak kuat lagi akhirnya ia berkata kepada sahabat – sahabatnya :

“Sahabat – sahabat aku tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melindungi kamu, aku akan gugur. Selamat tinggal”.

Setelah berkata demikian akhirnya daun besar itu pun gugurlah. Musim kemarau terus berlanjutan, daun-daun di pohon kecil itu saling bertahan untuk hidup. Mereka sama sekali sudah melupakan daun besar yang telah berjasa melindungi mereka sehingga mereka dapat bertahan sampai sekarang.


Musim kemarau tidak juga berakhir. Daun-daun di pohon kecil itu sudah mulai kehilangan harapan. Mereka merasa sangat kelaparan, kehausan dan akan mati. Di saat mereka putus asa, tiba tiba dirasakan adanya air dan makanan dari tanah. Mereka semua kehairanan akan adanya keajaiban itu.


Setelah lama tercari-cari, mereka menyedarinya. Mereka melihat bahawa daun besar itu sudah mereput dan menghasilkan air dan makanan bagi mereka. Akhirnya dengan air dan makanan dari daun besar tadi, daun daun di pohon kecil itu berjaya bertahan sehingga musim hujan datang. Daun-daun di pohon kecil itu sangat menyesal kerana telah melupakan daun besar itu. Padahal sampai akhir hayatnya daun besar itu tetap menjadi penyelamat untuk daun-daun lain.

Janganlah menilai seseorang dengan penampilan dan kekuatannya.
Tuhan memberikan bantuan kepada kita melalui sesiapa sahaja
Bahkan melalui orang yang kita anggap telah jatuh dan hina.
Ingatlah rencana Tuhan itu ajaib dan tidak memilih kasih terhadap semua hambanya.


15 August 2011

Belajarlah Bercinta Seperti Salman Al-Farisi

Di saat Salman Al-Farisi merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama, dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah.

Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi, penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.
“Subhanallah.. Alhamdulillah”


Terpancul kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.


Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.


“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya.
Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya.
Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya”, berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang utama.


Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.


“Silakan tuan..” balas Abu Darda’.
“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua. Sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman.


Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.


“Allahu Akbar.. Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.
“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” Air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Salman al-Farisi yg begitu setia dan utama disisi Rasulullah juga diuji sedemikian hebat apabila cintanya ditolak oleh gadis solehah idamannnya. Dan yang lebih mengejutkan lagi, sahabat baiknya yang pada mulanya dijadikan ‘teman bicara’ untuk meminang pula yang menjadi pilihan si gadis solehah.


Dan bagaimana pula reaksi jika kita meletakkan diri kita ditempat dan situasi Salman al-Farisi? mampukah kita memberi dn membenarkan segalanya dgn keikhlasan? Sudah pasti akan timbul sedikit rsa marah pada mulanya dan diikuti rsa terkilan.


Tapi berbezanya dgn Salman al-Farisi. Beliau begitu kuat menerima setiap ketentuan Illahi dgn penuh rsa syukur dan redha. Baginya, satu pekerjaan yang besar lagi mulia adalah dengan MEMBERI..


Kisah beliau mengajar kita bahawa tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah S.W.T. Yang Maha mengetahui tentang sesuatu yang tidak kita ketahui..

14 August 2011

Cinta Sehujung Kuku..

Pada suatu masa, tinggal sepasang suami isteri yang saling menyayangi.
 
Pada suatu hari, si isteri membuat satu permintaan kepada suaminya untuk hidup tanpa dirinya. Dia meminta kepada suaminya untuk tidak menghubungi dia langsung  selama sehari..

Si isteri berkata kepada suaminya, “Bila abang dapat melepasi syarat  itu, saya akan mencintai abang selamanya”. 
 
Si suami bersetuju. Seharian dia tidak sms dan menelefon isterinya tanpa dia mengetahui bahawa isterinya hanya memiliki 24 jam untuk hidup, kerana si isteri terkena kanser..

Keesokan harinya si suami itu pulang ke rumah. 


Air matanya menitis  melihat isterinya sudah terbaring dengan surat di tangan yang bertulis “Kamu berjaya sayang, bolehkah kamu lakukan perkara itu setiap hari..? Saya mencintai kamu selamanya..”

 
Jangan Mencintai Seseorang Setinggi Langit Kerana Langit Boleh Runtuh..
Jangan Mencintai Seseorang Sedalam Lautan Kerana Lautan Boleh Surut..
Jangan Menintai Seseorang Sebesar Dunia Kerana Dunia Boleh Hancur…
Cukuplah Mencintai Seseorang Sehujung Kuku,
Walau Kecil, Walau Selalu Dipotong, Ia Akan Selalu Tumbuh….



aien :: subhanallah...cinta itu akan ke syurga....amin....

13 August 2011

Kisah Cinta Pohon Epal..

Suatu ketika, hiduplah sebatang pohon epal besar dan kanak-kanak lelaki yang suka bermain-main di bawah pohon epal itu setiap hari.

Kanak-kanak itu suka memanjatnya hingga ke pucuk pohon, memakan buahnya, tidur dibawah keteduhan rendang daun-daunnya.

Kanak-kanak lelaki itu sangat sayangkan pohon epal itu.

Demikian juga pohon epal sangat sayang kepada kanak-kanak kecil itu.

Waktu terus berlalu.

Kanak-kanak lelaki itu kini telah dewasa dan tidak lagi bermain-main dengan pohon epal  itu setiap hari, seperti kebiasaannya.

Suatu hari dia mendatangi pohon epal itu.

Wajahnya nampak sedih.

“Mari ke sini bermain-main lagi denganku” kata pohon epal itu.

Aku bukan anak kecil yang bermain-main dengan pohon lagi” jawab kanak-kanak lelaki itu.

“Aku ingin sekali memiliki mainan, tetapi aku tiada wang untuk membelinya.”

Pohon epal itu menyahut, 
“Erm, maaf aku pun tiada wang.. Tetapi kamu boleh mengambil semua buahku dan menjualnya. Kamu boleh mendapatkan wang untuk membeli mainan idamanmu”

Kanak-kanak lelaki itu sangat gembira. Dia memetik semua buah epal yang ada di pohon dan pergi dengan penuh suka cita.

Namun, setelah itu kanak-kanak lelaki itu tak pernah datang lagi. Pohon epal itu kembali sedih.

Suatu hari kanak-kanak lelaki itu datang lagi.

Pohon epal sangat gembira melihatnya datang.

“Mari bermain-main denganku lagi” kata pohon epal.

“Aku tiada waktu” jawab kanak-kanak lelaki itu.

“Aku harus bekerja untuk keluargaku. Kami memerlukan rumah untuk tempat tinggal. Mahukah kau menolongku?”

“Maaf aku pun tidak memiliki rumah. Tetapi kamu boleh menebang semua dahan rantingku untuk membina rumahmu” kata pohon epal itu.

Kemudian anak lelaki itu menebang semua dahan dan ranting pohon epal itu dan pergi dengan gembira.

Pohon epal  itu juga merasa bahagia melihat anak lelaki itu gembira. Tetapi anak lelaki itu tak pernah kembali lagi.

Pohon epal itu sekali lagi merasa kesepian dan sedih.

Pada suatu musim panas, anak lelaki itu datang lagi.

Pohon epal merasa sangat gembira menyambutnya.

“Jom bermain-main lagi denganku” kata pohon epal.

“Aku sedih” kata anak lelaki itu.

“Aku sudah tua dan ingin hidup tenang. Aku ingin pergi bersiar-siar dan berlayar. Mahukah kamu memberikan aku sebuah kapal?”

“Maaf aku tidak mempunyai kapal, tetapi kamu boleh memotong batang tubuhku dan menggunakannya untuk membuat kapal yang kau mahu. Pergilah berlayar dan bersenang-senanglah “

Kemudian, anak lelaki itu memotong batang pohon epal itu dan membuat kapal yang diidamkannya.
Dia pun pergi berlayar dan tidak pernah lagi datang menemui pohon epal itu.

Akhirnya, anak lelaki itu kembali  setelah bertahun-tahun kemudian.

“Maaf anakku” kata pohon epal itu.

“Aku sudah tidak memiliki buah epal lagi untukmu.”

“Tak apa. Aku pun sudah tidak memiliki gigi untuk mengigit buah epalmu” jawab anak lelaki itu.

Aku juga tidak memiliki batang dan dahan yang boleh kau panjat” kata pohon epal.

“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu semua”  jawab anak lelaki itu.

“Aku benar-benar tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat aku berikan padamu. Yang tinggal hanyalah akar-akarku yang sudah tua dan sekerat ini” kata pohon epal itu sambil menitikkan air mata.

“Aku tidak memerlukan apa-apa lagi sekarang” kata anak lelaki itu.

“Aku hanya memerlukan tempat untuk berehat. Aku sangat penat setelah sekian lama meninggalkanmu”

“Oooh, bagus sekali. Tahukah kamu, akar-akar pohon tua adalah tempat terbaik untuk berbaring dan beristirehat. Mari, marilah berbaring di pelukan akar-akarku dan berehatlah dengan tenang.”

Anak lelaki itu berbaring di pelukan akar-akar pohon.

Pohon epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil menitiskan air matanya.



Apa yang dapat kita ambil dari cerita tersebut adalah ini adalah tentang cerita kita semua

Pohon epal itu adalah ibu bapa kita.

Ketika kita muda, kita senang bermain-main dengan ayah dan ibu kita.

Ketika kita semakin besar, kita meninggalkan mereka (seperti sekolah yang jauh dan universiti), dan hanya datang ketika kita memerlukan sesuatu atau dalam kesulitan.

Tidak peduli apa-apa pun, ibubapa kita akan selalu ada untuk memberikan apa yang dapat mereka berikan untuk membuat kita bahagia.

Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu telah bertindak sangat kasar terhadap pohon itu,

Tetapi kadangkala tanpa kita sedari begitulah sikap kita terhadap orang tua kita.

Orang inilah yang setiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya.

Orang inilah, rela melakukan apa sahaja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, lihatlah ayah dan ibu anda  ketika sedang tidur. Bagaimana jika saat kita jauh tidak disampingnya, kita tak dapat lagi melihatnya kerana mereka sudah tidur untuk selamanya.

Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat

Betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan mereka ini untuk kebahagiaan anda.

Cintailah mereka kita, dengan sebenar-benarnya cinta.

Ucapkan pada ibubapa kita sekarang, betapa kita mencintainya; dan berterima kasih atas seluruh hidup yang telah dan akan diberikannya pada kita.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok hari mereka “orang-orang dikasihi itu” tidak lagi membuka matanya, selamanya..

Aduhai ayah, ibu… terima kasih engkaulah pelita dalam hatiku..
Ya Allah Ya Ghaffar
Tak kuasa lagi aku merangkai kata ini…
Dan hanya permohonan dari lubuk hatiku yang penuh noda dan dosa dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu Kasihanilah aku dan kedua orang tuaku…
Demi RahmatMu yang mendahului murkaMu, daku bermohon, ampunilah dosa kedua orang tuaku
Duhai Zat yang selalu mendengarkan jeritan inilah daku yang merendahkan diri dihadapanMu. 
Amin



 aien :: ain sayang sngat2 dengan mak dan abah...mereka adalah nyawa ain...

12 August 2011

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.
 
Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:


1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” 

 2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.” 


4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.” 


5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.” 


6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.” 


7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ “


8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’” 

9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’” 


10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.” 


11. Orang yang sedang melawat orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”




aien :: renung2kan dan selamat beramal...

11 August 2011

Hakikat Cinta Seorang Pencinta

Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan.  Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa.  Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan. 

Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya.  Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya.  Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya.  Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.

Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya.  Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya.  Berkahwinlah keranaNya,  mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya.  Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa memberikan kita jalan yg terindah.  Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia.  Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata. 

“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”


 Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak.  Buahnya meranum namun rasanya pahit.  Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.

Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”

Riwayat Al-Bukhari


Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa.  Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu.  Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya.  Sungguh rapuh. 

Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok  tiada suara.  Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.  Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti. 

Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai.  Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.  Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara. 
Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia.  Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.  Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya.  Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim.  Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.


“ Mencintai tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia ada ditangannya.
Saudaraku tercinta,
Andai kehendak hati terhenti,
Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu cinta yang diharapkan,
Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,
Asalkan si dia mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.



Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…


“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi ) 

Saudaraku tersayang,

Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya.  Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan binasa.  Seseorang pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak lekang di bibir.  Demikian jualah cinta untuk Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia dalam redaNya.

Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)

Amin.

10 August 2011

Kita Bercinta di Syurga Ya

Berkali-kali dia menekan butang 'play' di radio hadapan. Mahu mendengar lagu daripada kumpulan kegemarannya, FarEast. Suasana di luar amat gelap. Sesekali kelihatan pancaran kilat beserta guruh. Sama-sama memeriahkan suasana malam di lebuhraya. Hujan sejak awal perjalanan tadi masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti mengalah. Hanya beberapa minit sebentar tadi hujan turun renyai-renyai.

Pemanduannya ditumpukan sepenuhnya di jalan yang sedang dilalui. Tahap keselamatan diletakkan pada tahap tertinggi di saat-saat begitu. Manakan tidak. Kiri kanan jalan, dipenuhi dengan kenderaan berat. Masing-masing memecut laju untuk ke destinasi yang dituju. Khuatir jika matanya berasa letih, sejak awal lagi dia sudah minum secawan kopi panas di hentian rehat setengah jam yang lalu. CD yang dimasukkan tadi, mungkin dapat membantu pemfokusannya berada pada tahap yang meyakinkan.

"Abang nak dengar lagu ape?"

Satu suara tiba-tiba memecah kesunyian perut kereta yang sedang meluncur laju.

"Sayang cuba tekan nombor 3.. dah lama abang tak dengar.. sedap lagu tu.."Balas Amin kepada isteri tercinta, Izyani. Dengan nada yang lembut, tetapi masih jelas didengari.

"Tajuk pe lagu tu?"

"Err.. Ade la.. Hehe.."

"Hek eh.. Nak rahsia-rahsia plak.."

"Suprise-surprise.. Lagu ni abang tujukan khas buat bidadari tercinta abang ni.." Ujar 
Amin bersahaja. Tangannya membelai manja pipi Izyani. Terasa kebahagiaan di situ.

"Romantiknye abang ni.."

"Mesti la.. untuk bidadari abang sorang ni je.."

Seketika kemudian, kedengaran lagu dimainkan. Izyani senyum, seraya memandang wajah suami di kerusi pemandu. Mendalam sekali setiap bait-bait lirik yang dilagukan.

Mekar di taman hati..
Cinta pertama..
Engkau ciptaan seni idaman kasih..
Antara bibir tersiratnya pekerti..
Kelembutan yang mendamaikan jiwa..

"Oo.. lagu ni rupenye.." Izyani sempat menyimpul satu senyuman manja buat sang suami di sebelah.

"Sayang suka lagu ni?"Soal Amin.

"Yup.. suka sangat-sangat.. dulu-dulu kat asrama, memang selalu sangat dengar lagu ni.. Masa remaja kan.. Dulu ada kawan-kawan yang sampai tunggu-tunggu kat radio untuk dengar lagu ni.."

Sayang tak tunggu kat radio?

"Hehe.. ada la gak nak wat camtu.. tapi tak sempat.."

"'First time' abang dengar lagu ni, abang akan fikir sorang-sorang.. sapa la calon isteri abang nanti.. sebab cinta yang Allah anugerah kat abang, abang nak kongsi dengan isteri abang ja.. dan abang selalu berdoa, untuk Allah anugerahkan kat abang, seorang yang solehah untuk sama-sama berkongsi cinta daripada Allah ni.. dan sekarang ni, Allah dah makbulkan doa abang.." Bicara Amin panjang lebar.

Izyani di sebelah menarik nafas panjang. Lalu dihembuskan perlahan. Ada rasa terharu di hatinya. Syukur atas anugerah yang diberikan Allah. Mendapat suami yang soleh. Sentiasa meletakkan cinta atas dasar Iman dan taqwa. Sentiasa mengingatkan bahawa tidak ada satu pun milik kita di dunia.

Semua itu, hanya pinjaman sementara. Yang boleh ditarik balik, pada bila-bila masa. 

Bersedia atau tidak, bukan itu menjadi persoalan. Tepuk dada, tanya persediaan. 

Termasuklah dalam soal cinta. Cinta atas dasar kerana-Nya, akan sentiasa merasa bahagia. 

"Tak percaya? Cubalah!" Kata-kata Ustazah Fatimah sejak di zaman matrikulasi dulu, sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Dari situ, dia membulatkan tekad. Untuk bercinta hanya kepada suami. Disandarkan cinta itu hanya pada Illahi.

"Sayang pulak camna?"

Amin mengejutkan lamunan Izyani dengan soalan tadi. Perasaan tadi membuatkan dia berasa seperti berkhayal. Khayal dalam keasyikan bercinta bersama suami.

"Sayang akan tanya diri bila dengar lagu tu.. layak ke diri ni untuk terima 'cinta pertama'? Memang rasa tak layak sangat-sangat.. siapa la yang nak 'share' 'cinta pertama' dengan sayang.."

"Alolo.. Wat ayat sedey plak.."Amin memintas kata Izyani.

"Huhu.. yala.. mesti la sedey.. bukan la sedey, tapi camtu la kan.. sapa la kita ni.."

"Sekarang ni sedey lagi la?"Soal Amin ringkas.

"Tak dah!"Balas Izyani.

"Sebab?"

"Sebab tak sedey laa..." ^_^

"Oo.. kenakan abang ye.."

"Tak la.. tapi betul la.. sekarang tak sedey dah.. sebab Allah dah pinjamkan kat sayang seorang suami yang baik, soleh untuk sama-sama kongsi rasa seronok, sedih.."

Amin membelai lembut pipi Izyani. Dirapatkan sedikit tubuh isterinya, lalu dikucup dahi isteri tercinta.

"Semoga kita dapat bercinta lagi di Syurga nanti..Doanya di telinga Izyani..

"Ameen.."Balas Izyani.

Kelihatan kilauan cahaya cerah dari arah belakang kereta. Seperti memberi isyarat kecemasan. Amin memandang ke arah belakang melalui cermin sisi kereta.

"Lajunye kereta tu.."Getusnya di hati.

"Ya Allah!!"

Ayat itu tiba-tiba terpacul daripada mulutnya. Baru kini dia sedar. Mereka sedang berada pada lorong memotong.

Dammmmm!!

Satu hentaman kuat dari arah belakang. Keretanya gagal dikawal. Berputar-putar di tengah lautan kenderaan yang lain. Dapat dirasakan putaran itu amat kuat sekali. Akhirnya melanggar tembok pembahagi jalan.

----
Dalam kebahagian, dijemput bertemu Yang Maha Esa?
Mustahil?
Semoga kita dapat bercinta di Syurga nanti..

Super Junior - Shiwon