Istiqamah pada istilah bahasa ialah tetap atau berperaturan. Jika
dipraktikkan di dalam kehidupan kita banyak menfaatnya. Istiqamah di
dalam beramal boleh membantu kita di dalam mengawal dan membenteng iman
dari gangguan musuh iaitu syaitan dan hawa nafsu. Dari situ tidak ada
peluang untuk syaitan dan nafsu untuk menggoda kita. Bertitik tolak dari
situlah iman dapat dipertahankan. Selanjutnya amalan secara istiqamah
dapat membuahkan iman dan akhlak yang mulia. Kemantapan iman bagi mereka
yang beristiqamah di dalam amalannya akan bertapak dihati. Lama
kelamaan kita akan merasakan kestabilan di dalam diri, malah ia akan
sentiasa menjangkau kepada tahap iman yang lebih tinggi dan sempurna.
Bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit."
Amalan
secara istiqamah mengajar kita agar sentiasa merasakan nikmat beramal
kerana setiap amalan yang dilakukan dengan hati dan jiwa, ianya akan
mendatangkan rasa lazat dan nikmat. Amalan secara istiqamah walaupun
dilaksanakan secara sedikit, pada tiap-tiap hari adalah lebih baik
daripada melakukan amalan secara banyak-banyak tetapi pada masa yang
tertentu. Kita boleh membuat perbandingan dan melihat sendiri kesan
dalam amalan istiqamah pada tindakan alam umpamanya setitik air yang
terus menerus menitik di atas batu, lama kelamaan ia akan melekukan batu
tersebut. Akan tetapi, jika banjir yang berlaku hanya sekali sekala,
tidak akan dapat memberi bekas pada batu tersebut.
Banyak
diantara kita yang tidak tahu bahawa mengetahui betapa besarnya fadhilat
bagi sesiapa yang beristiqamah di dalam amalannya. Amalan yang
dilakukan bukan atas dasar istiqamah, kebanyakkannya lahir daripada
semangat yang hanya bersifat sementara bukan lahirnya dari hati,
lebih-lebih lagi bukan lahir dari kesedaran, keinsafan serta kehambaan
kepada Allah s.w.t. Umpamanya pada satu hari kita ke majlis kematian,
maka sudah tentulah kita bila balik ke rumah datang suatu perasaan takut
akan mati, kiranya kita mati tanpa membawa iman dan amal. Akan datang
juga perasaan yang mencengkam jiwa kita umpamanya hati kecil kita akan
berkata " Hari ini sahabat aku mati, mungkin tidak lama lagi aku akan
menyusulnya dari belakang untuk bertemu dengan Tuhan Rabbul Jalil.
Apakah persiapan aku untuk bertemu Allah?. Apakah jawapan yang akan ku
jawab nanti apabila ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nangkir?"
Maka
sehari dua sekembalinya kita dari menyaksikan sekujur tubuh yang
terbujur kaku akan sentiasa memberikan rasa keinsafan dihati, justeru
itu lahirlah pada hati kita untuk kita beramal banyak-banyak dan
sungguh-sungguh. Maka bersembahyang sunatlah kita pada sehari dua hingga
bengkak-bengkak kaki, lupa hendak makan, lupa hendak mandi, dan
seolah-olah tidak mahu berehat dari beribadah. Akan tetapi setelah
beberapa hari berlalu, peristiwa kematian akan luput dari fikiran, maka
penyakit jemu dan malas pula semakin menguasai diri. Akhirnya lama
kelamaan, bukan hanya amalan sembahyang sunat semakin jarang dilakukan
tetapi sembahyang fardhu pun semakin diabaikan. Maksiat yang
ditinggalkan di dalam tempoh dua tiga hari diulangnya kembali. Apakata
andainya di waktu itu Allah mencabut nyawa kita, tidakkah kita ketika
itu termasuk ke dalam golongan orang yang malang kerana matinya kita itu
di dalam su'ul khatimah (mati di dalam keadaan derhaka kepada Allah).
Perasaan
jemu akan menghantui diri kita apabila kita beramal bukan atas dasar
istiqamah. Untuk mengelakkan perasaan demikian, maka hendaklah melakukan
setiap amalan atas dasar kehambaan kepada Allah. Setiap amalan yang
hendak dilakukan perlulah benar-benar ikhlas dan kerana Allah, untuk
Allah semata-mata. Tidak kerana orang lain, kerana terikut-ikut, kerana
malu dan sebagainya. Amalan yang dilakukan hendaklah dengan suka rela,
bukan kerana dipaksa atau dipaksa.
Andaikata perasaan jemu
seringkali memburu kita, ingatlah kembali akan firman Allah di dalam
hadith qudsi yang bermaksud: "Hai hamba-hambaKu, mengapa kamu jemu
beramal sedangkan Aku (Tuhanmu) tidak pernah jemu memberi pahala
untukmu."
Andainya perasaan malas sering menguasai diri kita,
maka tanamkan keyakinan pada diri bahawa setiap amalan yang dilakukan
walaupun sedikit tetapi ikhlas ada penilaiannya disisi Allah.
Untuk
mendapatkan jiwa yang istiqamah di dalam beramal, kita hendaklah
seringkali berdoa, mohon pada Allah agar kita sentiasa diberi oleh Allah
bimbingan olehNya. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kita dengan
sekeping hati yang sentiasa ghairah untuk beribadah walau dengan keadaan
bagaimana sekalipun. Perlu juga diingatkan kepada diri bahawa kita
beramal tanpa istiqamah, maka bertitik tolak dari situlah akan
membuktikan bahawa cinta kita kepada Allah mengikut masa sedangkan Allah
mengasihi hambanya sepanjang masa. Sebagai buktinya, setiap saat dan
waktu, nikmat Allah sentiasa melimpah ruah dengan berbagai-bagai nikmat.
Begitulah
Maha pemurah dan Maha Penyayangnya Allah. Oleh itu marilah kita
sama-sama berazam dan menanamkan cita-cita untuk beristiqamah di dalam
beramal. Semoga di dalam azam dan cita-cita kita itu yang dibuktikan
oleh perbuatan kita akan dinilai oleh Allah s.w.t dan dengan amalan
istiqamah itulah mudah-mudahan dapat meningkatkan darjat kita di sisi
Tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak.
http://islam098.blogspot.com/2012/12/istiqamah-dalam-ibadah.html
24 April 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)










0 sahabat baik saya: BALAS
Post a Comment
Thanks sebab sudi komen kat blog ain...
Note: Only a member of this blog may post a comment.